Begitu juga kita harus memperkenalkan diri kita sebelum memulakan perbincangan mahupun perbualan kosong.
William Snakespeare, itulah nama pena aku di blog ini sebagai pengenalan. mungkin kedengaran lucu pada sesetengah pihak. Mungkin pada sesetengah pihak pula menganggapnya sebagai "Catchy".
Tetapi mengapa nama William Shakeshakespeare yang menjadi pinjaman? Dan mengapa ular (snake) juga yang dikaitkan dengan nama penulis terkenal dalam kesusasteraan barat?
Rata-rata mungkin sudah tahu bahawa William Shakespeare merupakan seorang penulis yang pernah menulis lebih seratus puisi sepanjang hidupnya. Drama yang dikarangkan beliau juga menjadi perbualan ramai sehinggakan nama belia sangat sinonim dengan kesusasteraan. Begitulah juga harapan aku agar suatu hari nanti dapat mengarangkan drama atau apa jua bentuk tulisan yang menjadi bualan ramai.
William Shakespeare
Ular pula merupakan haiwan yang sangat sinonim dengan "Racun" dan "Sihir". Malah ungkapan lidah bercabang pula merujuk pada seseorang yang tidak boleh dipercayai kata-katanya. Watak ular juga sering dikaitkan dengan watak "Antagonist". Tetapi berlainan pula dengan tujuan aku menggunakan ular sebagai sebahagian nama pena ini.
Ular yang dimaksudkan di blog ini merujuk kepada salah satu watak di dalam lagu Bangau Oh Bangau. Mungkin ramai yang pernah menyanyikan lagu ini atau sekurang-kurangnya pernah dengar akan lagu ini. Tetapi berapa ramai yang faham akan maksud tersirat liriknya?
Bagi memahami dengan lebih lanjut, marilah kita lihat klip video lagu ini:
Bangau Oh Bangau
Jika pada pengamatan awal kita, mungkin sesetengah pihak akan mentafsirkan ular sebagai punca segala masalah sehingga menyebabkan masalah Bangau itu kurus. Tetapi jika difikirkan semula dengan logik, bukankah ular itu bersikap jujur dan mengaku akan perbuatannya? Berbanding dengan haiwan dan tumbuhan lain yang sering menyalahkan pihak lain atas masalah yang menimpa diri mereka sendiri?
Begitulah pengamatan aku semenjak menceburi bidang "Journalism" dan juga politik yang baru memasuki sebulan sahaja usianya. Di dalam dunia politik yang aku perhatikan, seringkali mereka (ahli politik) menuding jari sesama mereka dan menyalahkan pihak yang lain atas sesuatu masalah yang timbul. Masyarakat kita pula disajikan dengan berita keburukkan ahli politik di Malaysia. Segala yang buruk dan hina dijadikan menu utama muka hadapan media massa mahupun media baru. Manakala yang baik pula dijadikan sekadar pencuci mulut pada pembacanya. Tetapi bagaimana jika pembaca sudah kenyang membaca menu utamanya lalu tidak mahu lagi pandang pencuci mulut yang dihidangkan di halaman belakang? Sudah tentu mereka akan terus beredar dengan pemahaman yang mereka ada tentang dunia politik.
Maka, aku menolak segala budaya "Bangau" dan menjadikan watak aku sebagai ular dalam masyarakat. Sekiranya kata-kata aku ini dianggap "Racun" dan berbisa untuk diterima, aku tidak peduli. Sekiranya mereka melontarkan tohmahan mengatakan tulisan aku ini "Sihir" yang boleh mempengaruhi minda anak muda, aku masih tidak peduli. Sekiranya akulah watak "Antagonist" dalam masyarakat, aku tetap tidak akan peduli.
William Snakespeare.
